“Lebih 100 lelaki melamar saya pada setiap hari. Ada yang menjanjikan kesenangan, hantaran mahal, malah menghadiahkan sebuah gimnasium kepada saya,”

Marang: “Lebih 100 lelaki melamar saya pada setiap hari. Ada yang menjanjikan kesenangan, hantaran mahal, malah menghadiahkan sebuah gimnasium kepada saya,” kata Fatin Suhaida Razali.

Wanita berusia 23 tahun itu pernah menjadi tular di media sosial selepas aksinya menjalani latihan beban di gimnasium dirakam dan menjadi tumpuan netizen di Instagram.

Fatin Suhaida ketika ditemui Harian Metro semalam berkata, selepas dua tahun aksinya menjalani latihan angkat beban di gimnasium tular di media sosial, dia bukan saja diburu peminat lelaki yang ingin memperisterikannya, malah turut dilamar pelbagai pengeluar produk kesihatan tempatan yang mahu menjadikannya jurucakap.

“Sebelum ini ramai yang kecam tindakan saya memuat naik aksi bersenam di gimnasium sambil bertudung di Instagram, tetapi sekarang tindakan itu mengubah kehidupan saya menjadi seorang yang lebih berani, berkeyakinan, selain dapat menjana pendapatan sampingan.

“Dua tahun lalu saya hanya mempunyai 72,400 pengikut di Instagram, tetapi sekarang pengikut saya meningkat hingga 196,000 orang dari pelbagai negara termasuk Indonesia, Brunei dan Singapura.

“Pada mulanya hasrat saya memuat naik setiap aktiviti di gimnasium hanya sekadar suka-suka dan pada masa sama memberi pendedahan kepada wanita bertudung supaya mengubah persepsi mengenai latihan angkat beban yang sebelum ini hanya terhad untuk lelaki,” katanya yang tinggal di Kampung Durian Guling, di sini.

Dia berkata, objektifnya itu tercapai apabila sudah ramai wanita bertudung menjalankan latihan angkat beban di gimnasium sekarang, terutama membabitkan wanita bertudung di sekitar Kuala Terengganu.

“Setiap video yang dimuat naik di laman Instagram itu bukan bertujuan menunjuk, malah bukan juga untuk menjadi bahan kecaman netizen dan ia hanya untuk tatapan wanita yang ingin berjinak-jinak dengan aktiviti lasak itu.

“Berbaloi apabila aktif di Instagram sejak dua tahun lalu yang akhirnya mendatangkan manfaat kepada ramai wanita.

“Pada masa sama ia memberi peluang saya menjana pendapatan tambahan melalui tawaran sebagai jurucakap produk kesihatan. Alhamdulillah dapatlah saya menambah pendapatan sehingga RM2,000 sebulan,” katanya.

Berhubung lamaran yang diterima daripada lelaki sejak menjadi tular di media sosial, Fatin Suhaida berkata, dia tidak mempunyai perancangan untuk berkahwin dalam tempoh terdekat dan mahu memberi fokus kepada cita-citanya menjadi model sukan dan jurulatih peribadi yang berjaya.

“Saya tidak ambil serius sangat mengenai tawaran kahwin atau hasrat lelaki yang tidak henti-henti menghantar pesanan ringkas untuk berkenalan itu kerana menganggap ia sudah menjadi asam garam apabila terkenal di Instagram.

“Jika mereka menghantar pesanan ringkas yang berbaur luahan perasaan, saya mengabaikannya dan sekiranya mereka terlalu melampau, saya akan menyekat mereka daripada terus mengganggu saya,” katanya.

Harian Metro dua tahun lalu pernah melaporkan kecekalan Fatin Suhaida, wanita bertudung yang menjalani latihan angkat beban di gimnasium sehingga menjadi tular di laman sosial sekali gus menerima pelbagai pandangan daripada netizen.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *