Kembar KJ Di Kenal Pasti, Kini Mula Jadi Buruan Para Netizen [ 5 GAMBAR ]

PETALING JAYA: Seorang pemuda mendapat perhatian selepas video pendek yang memaparkan dirinya beraksi dalam pakaian sukan dimuat naik oleh rakannya di laman sosial.

Aura ‘tall, dark and handsome’ pemuda ni dilihat mirip bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin atau lebih dikenali sebagai KJ.

“Ramai orang kata muka ‘member’ (kawan) aku ni macam @khairykj,” tulisnya di Twitter @sxyrim pada Isnin sambil meminta netizen mengulang kicau status berkenaan dan membuat pautan di Twitter milik Khairy.

Pemuda bersongkok dan berbaju Melayu merah (tiga, kiri) mirip Khairy. Foto Instagram syafiqkhairil_

Pada hari yang sama, Khairy mengulang kicau status berkenaan yang turut mempunyai video pendek berdurasi 24 saat itu.

Video tersebut bermula dengan pemuda yang bernama Syafiq Khairil Anuar memakai kasut sukan, menyarung jersi jalur hitam dan kuning serta berseluar pendek.

Dia yang dikatakan ‘klon’ Ahli Parlimen Rembau itu kemudian berjoging melalui kawasan perumahan dengan lagaknya tidak ubah seperti seorang atlet.

Menerusi akaun Instagramnya, Syafiq sering memuat naik gambar-gambarnya aktif dalam sukan berbasikal, yang juga merupakan hobi Khairy.

Selain sukan basikal, pemuda ini turut aktif bermain ragbi, bola keranjang serta mendaki, aktiviti yang menguji mental dan fizikal.

Syafiq (kiri) dan Khairy (kanan), kedua-duanya aktif sukan berbasikal.

Rata-rata netizen sependapat, menyifatkan Syafiq sebagai ‘kembar’ Khairy, malah dikatakan kelihatan seperti bekas menteri itu sewaktu muda.

“Ingatkan KJ tadi,” kata seorang netizen, @danshaiman yang turut bersetuju dengan pandangan orang ramai mengenai pemuda itu.

“Ni abah KJ kan?,” kata @syasyalemkova sambil memaut akaun Instagram milik Khairy.

“Sekali pandang macam KJ,” kata @najeejohohoho di ruangan komen akaun Instagram milik Syafiq.

Selain bersukan, Syafiq juga suka bergaya.

Menariknya, Khairy turut memberi respons menerusi akaun Instagram stesen radio Era yang memuat naik video Syafiq pada Selasa.

“Tolong cari siapa dia jejaka tampan ni. Boleh saya minta dia hadir Dewan Rakyat bagi pihak saya dari masa ke semasa,” katanya dengan nada bergurau mengenai pemuda yang mempunyai mirip wajahnya.

Respons bergurau Khairy mengenai pemuda mirip wajahnya. Instagram era.je