Jangan Guna Kuasa Untuk Menang Pemilihan, Anwar Beritahu PKR

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan calon yang bertanding dalam pemilihan PKR supaya tidak menggunakan kuasa yang ada dalam kerajaan untuk meraih undi.

“Seperti yang disebut oleh presiden, kita harus tegas. Ia adalah pemilihan dalam suasana kekeluargaan, dalam parti yang mendambakan reformasi dan nilai etika. Parti ini diasaskan untuk menentang penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

“Calon-calon harus elak dari penyalahgunaan kuasa, maknanya timbalan perdana menteri, menteri dan exco tidak boleh guna kedudukan mereka sama ada memujuk atau mengugut mana-mana ahli untuk meraih undi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat parti itu hari ini.

Ketua umum PKR itu juga mengingatkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) untuk bersikap adil dalam menjalankan tugas.

“Saya tegaskan JPP mesti bersih dan bebas, JPP perlu bersikap tegas. Mereka harus pantau pemilihan kerana ia di bawah bidang kuasa mereka, sekarang berbeza dari dulu.

“Tapi kebimbangan itu telah didengar, disuarakan. Sebab itu saya cakap dengan tegas bahawa ini mesti dihentikan. Nada suara menyatakan ada beberapa siaran yang menyinggung peribadi dan mencerca, ia harus dihindari.

“JPP perlu bertindak tegas atau tak, saya menegaskan, selagi saya diberi mandat untuk memimpin, saya tidak akan bertolak ansur.

“Parti ini ditubuhkan untuk menentang ‘abuse off power’, ‘arrorgance of power’, ‘corruption’ dan pembaziran. Tindak tanduk kita kerana kawan atau lawan tidak harus dipamerkan,” katanya.

Sementara itu, Presiden PKR Datuk Wan Azizah Wan Azizah berkata beliau tidak mahu pemilihan kali ini dicemari taktik politik kotor dan unsur negatif yang bercanggah dengan prinsip demokrasi.

Beliau yang juga timbalan perdana menteri berkata, pada pemilihan kali ini, PKR perlu menunjukkan contoh kepada parti lain dalam membawa prinsip perjuangan yang baik.

“Selepas pilihan raya yang lalu, kita sudah berjaya menjadi satu parti dominan dalam kerajaan dan kita sudah sampai ke tahap di mana proses demokrasi berjalan dengan baik.

“Jadi, kita tidak mahu melihat sebarang unsur untuk menjatuhkan antara satu sama lain atau serangan peribadi berlaku dalam pemilihan kali ini,” katanya.

Wan Azizah berkata, beliau mengharapkan semua calon yang bertanding pada pemilihan supaya memelihara elemen kekeluargaan dalam parti.

“Kita mahukan proses pemilihan yang bersih tanpa meninggalkan semangat perjuangan dan kekitaan yang sedia ada.

“Semangat kekeluargaan juga perlu ada sepanjang pemilihan supaya proses yang dijalankan lancar dan bersih,” katanya.

PKR akan mengadakan pemilihan parti pada akhir bulan ini di mana tempoh sah jawatan setiap pemimpin cabang dan pusat akan berakhir pada 22 Februari tahun depan.

Bagaimanapun, proses pemilihan parti itu tidak boleh dilaksanakan melangkaui tempoh 18 bulan penangguhan Kongres Nasional Tahunan parti itu yang berakhir, 21 November depan. – FMT