Penganggur Samun, Rogol Pembantu Butik Pakaian Dipenjara 20 Tahun, 35 Sebatan!!

KUALA TERENGGANU – Perbuatan jahat seorang penganggur yang merogol, melakukan seks luar tabii dan merompak seorang pembantu butik pakaian di bandar raya ini pada 1 Ogos lalu berbalas apabila dia dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 35 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Mohamad Nurhadi Othman, 25, yang berasal dari Jalan Hiliran, Parit Gali di sini membuat pengakuan bersalah terhadap dua pertuduhan merompak, tiga tuduhan melakukan seks luar tabii dan satu pertuduhan merogol di dua mahkamah sesyen berasingan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh mengaku salah atas tuduhan merompak wang tunai bernilai RM2,600 dengan bersenjatakan sebilah pisau di sebuah butik pakaian wanita di Jalan Bukit Kecil di sini kira-kira pukul 9.56 malam, 1 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut mengaku salah merompak dua utas rantai tangan dan cincin milik pembantu butik pakaian itu dengan bersenjatakan pisau kira-kira pukul 10.55 malam pada hari yang sama.

Mohamad Nurhadi juga didakwa atas pertuduhan merogol dan tiga perbuatan seks luar tabii ke atas mangsa di lokasi dan tarikh sama dari pukul 10.10 malam hingga dan 10.45 malam pada tarikh dan lokasi sama.

Pada 3 Ogos, seorang pembantu kedai dilaporkan mengalami detik hitam apabila disamun dan dirogol penjenayah ketika bersendirian di butik pakaian wanita terbabit. – K! ONLINE