Perkenalan Menerusi WhatsApp Bawa Padah Kepada Budak Perempuan 10 Tahun

ARAU – Perkenalan dan perhubungan menerusi aplikasi WhatsApp selama kira-kira empat bulan lalu dengan seorang remaja lelaki akhirnya akhirnya membawa padah kepada seorang pelajar perempuan tahun empat apabila dipercayai dirogol pada 2 September lalu.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, mangsa yang berusia 10 tahun dan menetap di Padang Besar dekat sini itu telah dirogol di sebuah rumah di Taman Bersatu di sini oleh empat suspek lelaki yang berusia 15 hingga 20 tahun.

“Siasatan awal mendapati, mangsa telah keluar bersama tiga suspek lain dengan menaiki motosikal ke rumah berkenaan kira-kira pukul 2.30 pagi.

“Di rumah itu terdapat seorang lagi suspek. Mangsa kemudian melakukan hubungan seks bersama empat lelaki itu secara bergilir-gilir di dalam sebuah bilik.

“Mangsa lewat membuat laporan polis kerana ingin menyembunyikan perkara itu namun guru sekolahnya berjaya menghidu kejadian itu.

“Guru berkenaan bertindak menghubungi ibu bapa mangsa setelah dia mengaku melakukan perbuatan itu,” kata Nanda ketika dihubungi hari ini.

Mangsa telah membuat laporan polis semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Nanda berkata, semua suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 19 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan.

“Mangsa mula mengenali salah seorang suspek tersebut pada Mei lalu melalui aplikasi WhatsApp.

“Kemudian mangsa mula mengenali seorang lagi suspek menerusi rakan yang dikenali melalui WhatsApp itu. Bagaimanapun, mangsa memaklumkan tidak mengenali dua suspek lain,” katanya.

Polis masih menunggu hasil pemeriksaan perubatan mangsa oleh pegawai perubatan Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar dekat sini berhubung kejadian rogol itu. – K! ONLINE

Baca Juga : ‘Saya tak kesal serah anak kepada polis’

SUNGAI PETANI: “Saya nekad dan tidak kesal sama sekali serah anak (suspek) kepada polis kerana apa yang dilakukannya adalah salah,” kata ibu kepada suspek yang terbabit dalam kes samun kedai dobi dan kedai runcit 24 jam, kelmarin.

Wanita berusia 42 tahun itu yang enggan dikenali berkata, dia terkejut apabila mengetahui kejadian itu selepas dihubungi seorang lagi anak di Kuala Lumpur memintanya melihat Facebook (FB) selepas melihat gambar abangnya tular di media sosial.

Menurutnya, dia kemudian terus membuka FB dan tergamam sebelum terus mengambil cuti dan pulang dari Kuala Lumpur ke Taiping dengan bas pada jam 2 petang dan tiba jam 12 tengah malam tadi.

“Saya kemudian diberitahu anak berada di rumah rakan di Taiping dan terus ke sana sebelum memujuk dan menasihatnya supaya menyerah diri kepada polis sehingga akhirnya dia bersetuju.

“Apa yang dibuat oleh anak saya itu salah dan biarlah undang-undang yang hukum, saya pasrah, biarpun kecewa dengan tindakannya itu saya tetap mahu dia kembali menjadi manusia berguna,” katanya ketika ditemui di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini, hari ini.

Wanita itu berkata, dia tidak kesal atau malu apabila membuat keputusan membawa anaknya dari Taiping ke IPD Kuala Muda untuk diserahkan kepada polis.

“Saya juga berasa sedih kerana minggu lalu anak ada menelefon meminta wang namun ketika itu saya belum menerima gaji lagi dan tidak dapat membantu.

“Biarlah ia menjadi satu pengajaran dan berharap dia insaf selepas ini,” katanya.

NSTP hari ini melaporkan seorang daripada dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian samun kedai dobi dan kedai runcit 24 jam di Bandar Puteri Jaya dan Taman Ria, kelmarin ditahan polis selepas menyerah diri di IPD Kuala Muda, hari ini.

Kedua-dua penyamun berkenaan menjadi ‘popular’ di media sosial apabila tindakan mereka menyamun dua premis terbabit dirakam kamera litar tertutup (CCTV), selain ada netizen mengemukakan pelbagai komen di Facebook seorang daripadanya.