Ahli Parlimen UMNO Ditawar RM20 Juta Tinggalkan Parti?

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) didakwa sedang giat ‘membeli’ beberapa ahli Parlimen daripada UMNO dengan tawaran sehingga RM20 juta untuk meninggalkan parti itu.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, ia bertujuan bagi menjamin kedudukan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri susulan kedudukan kerusi Parlimen PPBM dalam bahaya.

“Saya dimaklumkan tawaran-tawaran yang cukup hebat daripada parti sebelah sana (PPBM) sehingga ada yang ditawarkan sehingga RM20 juta untuk meninggalkan UMNO

“Saya dimaklumkan tawaran sehingga RM20 juta, kalau 10 orang baru RM200 juta, kalau 20 orang baru RM400 juta. Jadi apa ada masalah di sebelah sana kalau kita lihat baru-baru ini mereka mendapat beberapa bilion daripada Iran.

“Jadi untuk mengekalkan Tun Mahathir terus menjadi perdana menteri, mereka akan membeli ahli-ahli Parlimen daripada UMNO walaupun dengan berapa nilainya,” katanya ketika dihubungi Malaysia Gazette lewat malam ini.

Beliau mengulas tindakan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapha Mohamed yang mengumumkan dirinya keluar daripada UMNO berkuatkuasa serta-merta.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, keputusan diambil selepas melihat usaha-usaha bagi memulihkan kepercayaan dan imej UMNO yang disertainya sejak 40 tahun itu semakin sukar.

Jamal juga menggesa kepimpinan tertinggi UMNO khususnya Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil tindakan segera terhadap wakil-wakil rakyatnya yang berpaling tadah.

Katanya lagi pucuk pimpinan UMNO juga sewajarnya melaporkan dakwaan jual beli ahli-ahli Parlimen ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.

“Saya berharap suatu tindakan dilakukan oleh pucuk pimpinan Datuk Seri Zahid termasuk melaporkan perkara ini kepada pihak SPRM.

“Apa nak kata, pihak SPRM pun mereka sudah kawal berdasarkan keadaan sekarang yang dapat kita lihat.

“Saya harap ahli-ahli UMNO tidak mencontohi pemimpin-pemimpin yang mengkhianat parti ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Sumber: http://cempedakcheese.com/ahli-parlimen-umno-ditawar-rm20-juta-tinggalkan-parti/