Tun Mahathir Akan Mansuhkan Undang-undang Ini Yang Diperkenalkan Oleh Najib Razak.

SHAH ALAM: Kerajaan akan memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang diperkenalkan ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN), kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata menerusi SOSMA kerajaan boleh menangkap sesiapa sahaja tanpa perlu dibawa ke mahkamah dan terdapat sesetengah suspek yang ditemui meninggal dunia ketika masih dalam tahanan.

“Undang-undang SOSMA kalau sesiapa ditangkap tidak bawa ke mahkamah, kalau mati tiada inkuiri dan tiada tindakan yang boleh dikenakan kepada mereka yang membunuh individu yang ditangkap itu.

“Itu undang-undang yang diluluskan oleh Najib dan kami akan mansuhkan undang-undang itu,” katanya ketika berucap di majlis makan malam mengutip dana Tabung Harapan di Ideal Convention Center (IDCC) di sini, malam ini.

Turut hadir isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Menteri Wilayah Khalid Abd Samad, Anggota Parlimen Klang Charles Santiago dan Presiden gabungan persatuan itu, Datuk Tony Tang.

Penganjur majlis makan malam itu, Gabungan Persatuan Cina Klang menyerahkan replika cek berjumlah RM3,479,100 kepada Dr Mahathir untuk mengisi Tabung Harapan.

Menurut Dr Mahathir, Pakatan Harapan akan memastikan rakyat akan dilindungi dengan undang-undang yang adil dan sebarang kesalahan akan ditentukan oleh mahkamah.

“Kita ada undang-undang dalam negara ini, dan ia akan dikuatkuasakan supaya rakyat tidak ditindas oleh kerajaan yang tidak peduli terhadap undang-undang.

“Ini penting kerana undang-undang digubal untuk melindungi rakyat. Tetapi semasa pentadbiran Najib, beliau abaikan undang-undang dan buat sesuka hati. Tetapi sekarang, kita mengembalikan kedaulatan undang-undang.

“Mahkamah akan menentukan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak,” katanya lagi.

Dalam ucapannya juga, Dr Mahathir berkata ketika Pakatan Harapan mengambil alih petadbiran negara, banyak kerosakan yang dilakukan oleh BN dan ia jauh lebih besar daripada apa yang dijangkakan.